mutakhir

NGO gesa warta Pantai Pasir Panjang sebagai kawasan perlindungan [METROTV]

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Pantai Remis: Kerajaan Perak digesa supaya mewartakan kawasan Pantai Pasir Panjang, Segari, dekat sini sebagai kawasan perlindungan bagi mengelakkan ia dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kemusnahan kawasan pendaratan penyu utama di negeri itu.

Ia disuarakan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak (Ekologi Perak) dan Persatuan Penggiat Alam Segari, memandangkan wujud usaha sebuah syarikat korek pasir menceroboh kawasan pesisir pantai dengan pembinaan jeti.

Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata aktiviti terbabit memberi ancaman kepada Pantai Pasir Panjang Segari yang diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1).

"Isu yang paling membimbangkan adalah cubaan untuk mengambil dan mengeluarkan pasir di Lot 18435. Kawasan itu terletak dalam KSAS Tahap 1 yang sepatutnya dilindungi.

"Berdasarkan dokumen Rancangan Fizikal Negara (RFN), semua kawasan pendaratan penyu di Semenanjung Malaysia dikategori sebagai KSAS Tahap 1 yang tidak boleh dibangunkan untuk sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah kecuali pelancongan eko yang berimpak rendah, pendidikan dan penyelidikan.

"Kawasan pantai dari Hutan Lipur Pasir Panjang hingga ke Pantai Pasir Pandak, Tanjung Hantu adalah kawasan yang kerap direkodkan pendaratan penyu berdasarkan penemuan sarang dan kutipan telur oleh pengutip telur penyu yang dilantik oleh Jabatan Perikanan," katanya kepada pemberita ketika tinjauan di Pantai Pasir Panjang, dekat sini, hari ini.

Berdasarkan Warta Kerajaan Negeri Perak, kawasan Lot 18435 adalah sebahagian daripada Hutan Simpanan Dara (VJR), Hutan Simpan Tanjung Hantu (HS Tanjung Hantu) yang dimansuhkan.

Meor Razak berkata, kegiatan pengambilan pasir dibimbangi boleh mengganggu dan memusnahkan struktur fizikal kawasan pantai dan menyebabkan tidak sesuai lagi untuk penyu mendarat dan bertelur di kawasan berkenaan.

"Kesan jangka panjang daripada kegiatan pengambilan pasir dan penukaran guna tanah bukan hanya akan menjejaskan kawasan pendaratan penyu tetapi menyebabkan impak kepada ekosistem pesisiran pantai.

"Kami berharap, kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang tegas menghentikan dan tidak membenarkan lagi sebarang kegiatan yang berisiko tinggi di KSAS Tahap 1 Pantai Pasir Panjang, Segari.

"Pihak Berkuasa Negeri harus mewartakannya sebagai kawasan perlindungan supaya agensi penguatkuasa dapat ditempatkan di sini dan mengawal sebarang usaha pencerobohan," katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Wong May Ing, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Manjung Utara, Wahid Ridwan dan Pengerusi My Komuniti Perikanan (MyKP) Segari, Syafie Mohamad Akhir.

Januari tahun lalu, Harian Metro melaporkan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Perak mengesahkan pihaknya tidak mengeluarkan lesen atau permit bagi sebarang aktiviti pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang.

Disiarkan pada: February 2, 2023 @ 3:23pm
d