mutakhir

'Saya tak sedih kaki kudung akibat jerangkap samar' [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kajang: "Ketika kehilangan kaki kanan hingga bawah lutut 38 tahun lalu, langsung tiada rasa sedih kerana saya juga menyelamatkan nyawa seorang anggota dalam operasi mempertahankan negara dalam Ops Gubir.

"Tetapi saya sedih apabila doktor mengesahkan saya menghidap kanser usus, namun saya reda dengan ujian Allah SWT," kata veteran Tentera Darat Malaysia (TDM) Safaruddin Suhaimi.

Safaruddin, 62, yang kudung kaki kanan kerana jerangkap samar semasa Ops Gubir 1985 kini menghidap kanser usus tahap dua selain turut disahkan mempunyai ketumbuhan pada paru-paru.

Safaruddin berkata, dia didiagnosis kanser itu pada Oktober tahun lalu, manakala ketumbuhan pada paru-paru pula baru disahkan bulan lalu.

Susulan itu, dia yang berkerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan perumahan terpaksa berhenti kerja dan kini bergantung kepada pencen bulanan dan anak tunggalnya saja.

"Saya sakit di bahagian perut seperti nak putus nyawa sebelum doktor memberitahu saya ada kanser usus, kemudiannya dimaklumkan ada juga ketumbuhan pada paru-paru.

"Memang sedih apabila diuji dengan penyakit ini apatah lagi sekarang sudah tidak boleh berkerja kerana keadaan kesihatan, sekali gus menyebabkan pendapatan kami terjejas," katanya ditemui ketika menerima kunjungan ziarah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di rumah di Taman Semarak Sungai Chua, di sini, semalam.

Pesara tentera itu turut diziarahi pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa persatuan tentera lain.

Pada lawatan itu, Adly turut menyerahkan sumbangan kepada Safaruddin.

Menurut Safaruddin, dia kini bimbang perbelanjaan bulanan termasuk kos untuk rawatan nanti kerana sudah tiada pendapatan lain selain pencen bersih hanya RM600 sebulan selepas ditolak pinjaman.

"Setakat ini saya belum tahu lagi kos rawatan untuk kanser sama ada tinggi atau sebaliknya, saya akan membuat rawatan kemoterapi pada 17 Februari ini selepas keputusan penuh keluar.

"Kalau ke hospital memang ada manfaat sebagai pesara dan saya bersama isteri (Aini Abdullah, 52) ke hospital dengan e-hailing kerana tiada kereta.

"Anak tunggal dan anak buah memang ada bantu tetapi mereka juga ada urusan kerja," katanya.

Bercerita lanjut, Safaruddin berkata, kaki kanannya kudung dalam penugasan Ops Gubir membabitkan pengganas komunis di Gerik, Perak.

"Saya masih ingat ketika itu kami dalam perjalanan ke kawasan operasi dan nampak seorang anggota di hadapan saya seperti mahu terpijak jerangkap samar, saya nampak daun kering bergerak dan terasa macam ada sesuatu tidak kena.

"Saya kemudiannya menolak anggota itu yang terjatuh ke tepi dan saya termasuk dalam akar pokok sebelum jerangkap itu meletup," katanya yang membuat rawatan di Hospital Kajang.

Katanya, selepas kejadian itu dia bertugas di Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Malaya sehingga bersara pada 2002.

"Dalam kegusaran berhadapan penyakit ini saya gembira apabila Timbalan Menteri Pertahanan sudi menziarah saya dan rasa seperti dihargai," katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun bank Hong Leong atas nama Safaruddin bernombor 34551002742

Disiarkan pada: February 2, 2023 @ 3:23pm
d