mutakhir

Warga emas terharu terima bantuan JKM

Oleh Rosman Shamsudin

Bidor: "Selama ini saya menjalani kehidupan dengan bantuan dan ihsan daripada adik beradik dan jiran saja.

"Saya memang mengharapkan bantuan kewangan ini bagi memberi barang keperluan dan membayar bil utiliti," kata Liew Yat Yong.

Warga emas berusia 75 tahun itu bersyukur dan berterima kasih selepas permohonan bantuan kewangan mendapat kelulusan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) daerah Batang Padang, dekat sini.

Ia melayakkan dia menerima bantuan secara bulanan sebanyak RM 500 sebulan daripada jabatan berkenaan.

Yat Yong berkata, dia gembira kerana bantuan terbabit sudah tentu dapat mengurangkan beban dalam menjalani kehidupan seharian.

"Saya rasa hari ini adalah hari yang sungguh bertuah dan berita yang paling gembira sepanjang kehidupan saya," katanya ketika ditemui, dekat Kampung Baru, Bidor, hari ini.

Surat kelulusan disampaikan sukarelawan JKM, Yee Jee Kwong dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga ( KRT) Bidor, Wong Wing Yew.

Selain itu, Yat Yong turut menerima sumbangan bekalan makanan dan wang tunai daripada salah sebuah syarikat perumahan yang terletak di Behrang, Perak.

Dia yang tinggal bersendirian berkata, bantuan bulanan akan digunakan sebaik-baiknya dan berterima kasih kepada semua pihak yang begitu prihatin dengan nasib hidupnya.

Disiarkan pada: February 2, 2023 @ 5:32pm
d