mutakhir

7 jalan sekitar Batu Caves ditutup sempena Thaipusam [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Tujuh jalan di sekitar kawasan Batu Caves, di sini, akan ditutup bermula tengah malam ini hingga 8 Februari nanti bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perayaan Thaipusam yang bermula esok.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, penutupan tujuh jalan itu bagaimanapun bergantung kepada situasi semasa.

"Jalan yang ditutup sepanjang tempoh itu adalah persimpangan lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves; susur dari arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves dan Jalan Batu Caves Lama ke pintu utama Kuil Batu Caves.

"Selain itu, simpang tiga persimpangan lampu isyarat hadapan stesen minyak Shell Batu Caves; simpang tiga Jalan SBC 8 atau Jalan Lama Batu Caves; susur MRR2 dari Sri Gombak menghala susur Jalan Perusahaan Batu Caves dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Polis di Kuil Batu Caves, di sini, hari ini.

Zainal berkata, hebahan penutupan jalan juga akan dilakukan di papan iklan elektronik dari arah Bulatan Batu Caves menghala ke Gombak bermula semalam selain pemakluman di laman rasmi Facebook Polis Daerah Gombak.

"Laluan alternatif yang dicadangkan oleh pihak polis akan dikemas kini melalui platform media sosial Facebook Polis Daerah Gombak.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif dan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Beliau berkata, seramai 1,888 pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan di seluruh kontinjen Selangor akan bertugas dalam Op Palu di 45 stesen di lima zon di sekitar Batu Caves selain dibantu 11 agensi lain.

"Perarakan Thaipusam akan bermula dari Tun H S Lee ke Batu Caves jam 10 malam esok dan dijangka tiba jam 3 petang pada Sabtu ini, namun jadual perjalanan itu bergantung kepada keadaan cuaca dan trafik.

"Kita anggarkan seramai dua juta pengunjung terdiri dari dalam dan luar negara mengunjungi Kuil Batu Caves bagi tempoh 15 Januari lalu hingga 15 Februari nanti," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya meletakkan kenderaan di kawasan dibenarkan dengan memastikan ia ditinggalkan dalam keadaan berkunci, manakala pemilik motosikal dinasihatkan meletakkan kunci tambahan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga barang berharga bagi mengelak kecurian dan mengawasi pergerakan anak-anak serta mematuhi arahan pihak polis.

"Beri keutamaan kepada individu warga emas serta orang kurang upaya (OKU) dan orang ramai digalakkan memakai pelitup muka," katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2023 @ 5:39pm
d