mutakhir

Perdana Menteri 'rindu' rojak Port Dickson [METROTV]

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil peluang melepaskan 'rindu' untuk menikmati rojak di sebuah gerai di sini, hari ini.

Beliau menikmati rojak berkenaan sebelum menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Batu 3 3/4, Jalan Pantai di sini.

Menurutnya, beliau kembali ke situ kerana lokasi itu mempunyai sejarahnya tersendiri memandangkan pernah menjadi Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini.

"Port Dickson tidak saya lupakan kerana di sini ramai kawan, pegawai kerajaan dan mereka menyambut baik ketika saya menjadi Ahli Parlimen di sini sebelum ini.

"Selain itu saya rindukan rojak di kedai ini kerana pernah makan dulu dan pastinya saya tidak melupakannya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan merangkap Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, pemilik kedai, Azuan Azmi Ng, 34, berkata, dia terharu kerana Perdana Menteri sanggup singgah di gerainya untuk menikmati rojak yang dijual.

"Kedai ini dibuka sejak tahun 1970 oleh datuk, Salleh Abdullah yang sudah meninggal dunia lebih 20 tahun lalu.

"Ini kali pertama Perdana Menteri datang makan di sini. Ini adalah sejarah bagi saya kerana seorang Perdana Menteri sanggup datang dari jauh semata-mata untuk makan di gerai saya," katanya.

Menurutnya, semua pekerja teruja apabila dimaklumkan Perdana Menteri memaklumkan rindukan rojak di gerai mereka.

"Saya harap Perdana Menteri dapat datang lagi ke gerai saya apabila datang ke Port Dickson," katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2023 @ 3:37pm
d