mutakhir

Dua tahun bayar bil saja-saja

Oleh BERNAMA

Gua Musang: Seramai 150 penduduk Desa Seri Mutiara dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru di sini, terpaksa menadah air hujan selain menggunakan air bukit ditandak berikutan tidak dapat menikmati bekalan air bersih sejak dua tahun lepas.

Penduduk mendakwa, meskipun dipasang meter dan dilengkapi sistem perpaipan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) namun mereka tetap perlu membayar bil air walaupun tidak menggunakan air bersih daripada syarikat berkenaan.

Penduduk, Mohd Noor Fazley Hussein, 32, berkata, mereka bukan sahaja dikenakan caj oleh AKSB, malah turut membuat bayaran tabung setiap bulan kepada bendahari di kampung itu bagi tujuan penyelenggaraan air tandak.

"Sebelum ini kami dapat guna air bersih daripada AKSB, tetapi sejak dua tahun lalu air paip tiada dan kami terpaksa menggunakan air tandak.

"Malah, kami perlu berjalan empat kilometer (km) untuk ke kawasan sungai sekiranya paip air tandak tersumbat atau bocor," katanya ketika ditemui di Desa Seri Mutiara, RKT Renok Baru di sini, semalam.

Bagi Rahmah Abdul Rahman, 68, berkata, keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan kerana air tandak menjadi keruh dan ada kalanya paipnya tersumbat dengan lumpur.

"Sedih apabila anak balik kampung perlu bawa semula pakaian kotor mereka untuk dibasuh di rumah. Air di sini keruh dan perlu tunggu air tandak kembali jernih untuk membasuh pakaian," katanya.

Sementara itu, AKSB menerusi kenyataannya semalam memaklumkan siasatan mendapati beberapa punca seperti kedudukan kawasan hujung dengan paip agihan, ada pihak tidak bertanggungjawab mengusik, mengganggu atau mengubah kawalan injap di beberapa kawasan sehingga air tidak mengalir ke kawasan berbukit termasuk rumah pengadu.

"Selain itu, kekurangan bekalan dan tekanan air serta keadaan muka bumi berbukit dan jalan kampung menyebabkan penghantaran air melalui lori tangki tidak dapat dilakukan.

"Oleh itu, tindakan diambil seperti membetulkan semula kedudukan injap yang diganggu bagi memastikan keadaan injap dan saliran air kembali kepada keadaan sepatutnya," kata kenyataan itu.

Disiarkan pada: February 4, 2023 @ 6:31am
d