mutakhir

Trend tempah maut [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan penguatkuasaan dalam usaha mengesan motosikal yang tidak dilengkapi dengan brek belakang yang dikatakan trend penunggang remaja masa kini.

Trend motosikal tanpa brek itu dikesan menerusi Op Tahun Baru Cina 2023 pada Januari lalu selepas 39 motosikal ditahan dan ada antaranya didapati tidak dilengkapi dengan brek belakang.

Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin berkata, pihaknya mendapati motosikal tidak dilengkapi brek belakang dikatakan menjadi trend terkini golongan remaja tanpa memikirkan keselamatan diri dan orang lain.

"Saya tidak tahu apa tujuan mereka tidak memasang brek belakang tetapi ia dikatakan menjadi trend remaja yang kini dikesan semakin berleluasa.

"Risiko kemalangan sangat tinggi jika kenderaan tidak dilengkapi dengan sistem brek dan ia turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap motosikal yang ditahan itu turut dikesan melakukan sekurang-kurangnya dua hingga lima kesalahan membabitkan pengubahsuaian teknikal dan fizikal kenderaan, tidak memiliki brek belakang, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, tiada cermin sisi, ekzos bising dan penggunaan tayar tidak menepati saiz serta tiada penutup rantai.

Katanya, pemilik motosikal terbabit diberi tempoh 14 hari bagi mengembalikan semula fizikal kenderaan terbabit dalam keadaan asal sebelum dibenarkan menuntut semula kenderaan berkenaan.

"Jika pemilik tidak membuat tuntutan dalam tempoh tiga bulan, kenderaan terbabit akan dilucuthak dan akan dilelong," katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2023 @ 9:29am
d