mutakhir

Lelaki tunjuk 'anu' direman 4 hari

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Yan: Lelaki yang ditahan polis kerana menunjukkan kemaluan terhadap dua wanita bersaudara ketika menunggang motosikal semalam direman empat hari untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Yan untuk mendapat perintah reman hari ini yang bermula hari ini sehingga 9 Februari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, suspek berusia 26 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

"Namun, siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian semalam, dua wanita bersaudara berdepan detik cemas apabila terserempak dengan seorang lelaki yang menunjukkan kemaluannya ketika menunggang motosikal.

Kejadian berlaku 11.30 pagi ketika Nur Wahida Ahmad, 27, dan anak saudaranya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Keda, Sungai Udang, di sini, selepas pulang dari kursus kulinari di Guar Chempedak.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan pada 5.45 petang semalam selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan sejurus selepas itu.

Disiarkan pada: February 6, 2023 @ 11:23am
d