mutakhir

Insiden digigit beruang jadi pengajaran [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Insiden digigit beruang matahari di Yan, Khamis lalu tidak mematahkan semangat anggota bomba bantuan ini untuk terus berkhidmat meskipun urat pergelangan tangan kirinya putus.

Sebaliknya, Mohd Nizam Hamid, 27, yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan berkata, insiden itu menjadi pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati.

Dia yang keluar dari Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani semalam memberitahu perlu berehat dan menjalani pemulihan sekurang-kurangnya sebulan sebelum dapat bertugas.

Mohd Nizam turut berkongsi proses menangkap beruang itu yang menurutnya berlaku dengan pantas di petak sawah.

"Ketika itu saya bersama pasukan bomba serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Yan serta penduduk kampung sedang memantau kawasan itu untuk mencari beruang berkenaan.

"Namun saya terjatuh dan tidak menyangka haiwan itu keluar (daripada persembunyian) dan menggigit tangan kiri kerana masing-masing terkejut hinggakan saya hampir pengsan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 11, Pulau Nyior, Kota Sarang Semut, di sini hari ini.

Menurut Mohd Nizam, saiz beruang itu kelihatan kecil namun jika berdiri, ia lebih tinggi dan ganas.

"Belum pernah saya melihat beruang di depan mata kecuali di zoo tetapi operasi yang saya sertai Khamis lalu adalah satu pengalaman yang belum pernah dialami," katanya yang baru setahun berkhidmat sebagai anggota bomba bantuan.

Sementara itu, isterinya, Fatin Noor Atirah Azizan, 22, berkata, dia sempat menghubungi Mohd Nizam ketika kejadian berlaku namun suaminya tidak memaklumkan apa-apa.

"Saya hanya mengetahui hal yang berlaku apabila ada orang datang ke rumah dan tunjuk video yang tular. Menangis jugalah saya sebab bimbang keadaan suami," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia sembilan bulan.

Susulan kejadian 10.30 pagi itu, beruang betina seberat 90 kilogram yang dipercayai tersesat di kawasan sawah Kampung Selengkoh Tengah akhirnya ditembak pelali oleh kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah sebelum ditangkap.

Disiarkan pada: February 6, 2023 @ 4:57pm
d