mutakhir

Polis buru kumpulan lelaki terbabit kekecohan

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis sedang memburu sekumpulan individu yang terbabit dalam kekecohan di pekarangan luar Bangunan Seri Kinta di Jalan Sultan Idris Shah di sini, malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, semakan polis mendapati kejadian itu seperti yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp menerusi video berdurasi 23 saat sememangnya berlaku.

Menurutnya, susulan itu satu laporan polis dibuat mengenainya dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kerana merusuh.

"Kini, kami sedang mengesan individu-individu yang terbabit dalam kejadian itu bagi membantu siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataannya hari ini.

Menurutnya, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan selain menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang dikhuatiri menjejaskan siasatan serta dapat menimbulkan kegusaran awam.

Menerusi video tular itu, kekecohan dipercayai berlaku membabitkan puluhan individu yang berkumpul di tepi jalan raya dengan ada individu dilihat turut dipukul.

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 1:21pm
d