mutakhir

YIT mahu tambah tadika [METROTV]

Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Yayasan Islam Terengganu (YIT) bercadang menambah 14 lagi Tadika YIT di negeri itu.

Pengarahnya, Ishamudin Hashim berkata, buat masa ini, terdapat 18 cawangan Tadika YIT yang sudah beroperasi di setiap lapan daerah.

Menurutnya, pihaknya sudah mengemukakan cadangan menambah 14 lagi Tadika YIT kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen).

"Kita mendapati semua cawangan Tadika YIT sedia ada di seluruh negeri ini tidak dapat menampung kemasukan bilangan yang ramai kerana kekurangan tempat.

"Kita berhasrat mahu memastikan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terdapat cawangan Tadika YIT dan berharap mendapat kelulusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Tadika YIT Cawangan Kuala Terengganu di Menara YIT, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 184 kanak-kanak berusia enam tahun menerima sijil dan bakal melangkah ke alam persekolahan Tahun Satu Mac ini pada sesi 2023/2024.

Ishamudin berkata, pihaknya juga akan melihat sama ada menambah bilangan kelas di semua 18 cawangan Tadika YIT bagi membolehkan lebih ramai kanak-kanak diterima masuk pada sesi persekolahan nanti.

"Buat masa ini, kita akan menambah bilangan kelas kerana sebelum ini banyak permohonan kemasukan terpaksa ditolak akibat tempat terhad," katanya.

Dalam pada itu, Ishamudin berkata, pihaknya mahu perkenalkan modul pendidikan ke tahap lebih tinggi dan mahu menjadikan Tadika YIT Cawangan Kuala Terengganu sebagai projek perintis.

"Modul yang kita mahu terapkan ini diharap dapat membantu tahap pembelajaran kanak-kanak ini dengan pendedahan yang lebih ke hadapan," katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 3:39pm
d