mutakhir

Abang pelakon filem tuntut RM3.7 juta [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Impian abang kepada pelakon filem Pulau, Ikmal Army untuk bergelar jutawan berkecai apabila mendakwa ditipu ejen broker saham pelaburan forex menyebabkan dia kerugian mencecah RM3.7 juta Mac tahun lalu.

Mangsa, Mohd Zulhakim Amry Ghazali, 37, berasal dari Umbai, di sini, berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Kluang, Johor pada 4 Januari lalu selepas gagal mendapat penjelasan berhubung tuntutan keuntungannya itu daripada ejen broker terbabit.

Menurutnya dia mengenali broker terbabit pada 2018 sebelum berurus niaga dalam dagangan forex bagi wang digital kripto.

"Sepanjang berurus niaga saya berjaya membuat 10 kali transaksi bagi keuntungan antara AS$100 (RM430) hingga AS$10,000 (RM43,000) dan tidak pernah ada masalah.

"Pada 19 Mac lalu saya teruja mendapati pelaburan saya sebanyak RM45,000 mendapat keuntungan RM3.7 juta (AS$800,000)," katanya ketika ditemui bersama isterinya, Norbiha Talib, 40, di sini, hari ini.

Mohd Zulhakim bagaimanapun kesal apabila mendapati syarikat pelaburan itu yang masih beroperasi hingga kini enggan membayar wang keuntungan dijanjikan itu.

"Saya mempunyai lebih 600 pelajar dalam bidang pelaburan ini di seluruh negara dan mereka masih dibayar pulangan pelaburan oleh syarikat terbabit berpangkalan di Johor.

"Saya cuba mendapatkan penjelasan dan mereka hanya memberi alasan gangguan pada sistem," katanya.

Sementara itu katanya, dia hanya membuat laporan polis selepas hampir setahun berbincang dengan rakan dan peguam.

"Selama ini saya tidak tahu saluran mana yang dapat membela nasib saya dalam menghadapi kes sebegini. Setakat ini peguam sudah menghantar notis tuntutan bayaran pada 2 Disember lalu kepada syarikat terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 5:45pm
d