mutakhir

Reese Tan disuntik ubat genetik RM9 juta

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Pesakit Atrofi Otot Spina (SMA) yang memerlukan suntikan Zolgensma bernilai lebih RM9 juta bagi mengubati penyakit genetik dialaminya akhirnya mendapatkan ubat berkenaan hari ini.

Reese Tan Rui Xin yang kini berusia 19 bulan berjaya mendapatkan suntikan itu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas kutipan dana yang dilancarkan pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare akhir tahun lalu membuahkan hasil.

Pengerusi badan pertubuhan berkenaan Datuk Chua Sui Hau, berkata keadaan kanak-kanak perempuan itu kini dilaporkan stabil dan memuaskan selepas menerima suntikan berkenaan.

"Ubat genetik Zolgensma tiba di Malaysia pada minggu lalu dengan kos belian keseluruhan bernilai sekitar RM9.13 juta atas kadar pertukaran wang asing yang berbeza.

"Bagaimanapun kini semuanya sudah selesai dan kanak-kanak ini sudah pun menerima suntikan ubat genetik berkenaan dengan keadaannya stabil serta memuaskan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, Reese sebelum itu dimasukkan ke wad semalam untuk menjalani pelbagai saringan kesihatan sebelum menerima prosedur suntikan ubat genetik itu.

"Keputusan ujian menunjukkan bahawa keadaan adik Reese adalah sesuai untuk menerima suntikan ubat genetik terbabit dan prosedur suntikan ubat genetik Zolgensma dijalankan dengan sempurna hari ini.

"Saya yang berpeluang menyaksikan prosedur suntikan ini mendapati proses memakan masa lebih kurang satu jam dan reaksi Reese semasa menerima suntikan adalah baik dan normal," katanya.

Menurutnya, ibu bapa kepada kanak-kanak itu juga menunjukkan rasa teruja apabila impian untuk melihat anak mereka kembali sihat tercapai.

"Buat masa ini, Reese masih perlu berada di wad rawatan untuk proses pemerhatian oleh pakar perubatan.

"Pihak kita ingin berterima kasih sekali lagi kepada semua penderma yang menjayakan kempen mengumpul dana yang dilancarkan akhir tahun lalu," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, suami isteri iaitu Rachel Chung, 38, dan Jason Tan, 47, buntu bagi mencari dana untuk mengubati penyakit genetik anak bongsu perempuan mereka.

Disiarkan pada: February 8, 2023 @ 6:21pm
d