mutakhir

Pendigitalan LKM, LMM jimat RM96j

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kementerian Pengangkutan dijangka menjimatkan kira-kira RM96 juta setahun dengan pendigitalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, penjimatan itu akan digunakan untuk proses pendigitalan dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, penjimatan itu boleh dibuat melalui pelekat yang dicetak dan lesen yang dikurangkan.

"Penjimatan itu akan digunakan secara dalaman iaitu dengan menaik taraf aplikasi dan pendigitalan.

"Kita mendapat sokongan penuh dari Kementerian Kewangan sebab tidak perlu peruntukan tambahan," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Beliau berkata, rakyat juga boleh menjimatkan masa yang perlu diluangkan untuk memperbaharui lesen masing-masing atau membayar caj kepada pihak ketiga bagi penghantaran pelekat secara fizikal.

Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan juga akan meneruskan proses pendigitalan perkhidmatan JPJ yang lain termasuk integrasi sistem Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dengan sistem JPJ, pendigitalan pendaftaran kenderaan perdagangan termasuk e-hailling selain penguatkuasaan undang-undang dan peraturan jalan raya tanpa perlu menjalankan sekatan jalan raya seperti sedia ada.

"Fasa seterusnya pendigitalan penguat kuasa hanya perlu kamera untuk mengesan status kenderaan.

"Sementara itu, JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi tumpuan kepada advokasi supaya rakyat menuju ke arah digitalisasi," katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2023 @ 2:57pm
d