mutakhir

Menu Rahmah tak rugikan peniaga

Oleh Izz Laily Hussein

Johor Bahru : Pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah atau Jualan Rahmah tidak akan menjejaskan model perniagaan atau merugikan mana-mana pemain industri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia terbukti apabila ada pihak yang sudah melancarkan inisiatif itu merekodkan peningkatan jualan dan menerima pertambahan pelanggan.

Beliau berkata, mana-mana pemain industri yang memberi komitmen kepada inisiatif program berkenaan boleh memperoleh keuntungan, selain daripada rakyat dapat menikmati harga yang lebih murah.

"Dua hari lalu, sebuah pasar raya memaklumkan selepas melancarkan Jualan Rahmah, mereka mendapat peningkatan 30 peratus jualan dan ini 'spill over' yang kita harapkan.

"Maknanya, tidak rugi kalau pemain industri beri komitmen kepada jenama Rahmah ini kerana boleh beri keuntungan kepada semua pihak termasuk rakyat dapat menikmati harga yang lebih murah dan pemain industri pun akan mendapatkan kelebihan.

"Majoriti kedai yang saya lawati ketika Jelajah Rahmah, mereka yang menawarkan Menu Rahmah memaklumkan pelanggan bertambah dan sedikit pun tidak mengubah model perniagaan sedia ada," katanya ketika Pelancaran Burger Rahmah di Burger King Persiaran Indah di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, kementerian kini sedang membangunkan aplikasi Menu Rahmah yang akan memaparkan direktori premis perniagaan makanan di seluruh negara yang menyediakan Menu Rahmah.

Katanya, aplikasi itu akan dilancarkan dalam waktu terdekat ini.

Pada masa sama, Salahuddin berkata, Burger King menjadi restoran makanan segera pertama menawarkan Menu Rahmah kepada rakyat.

Katanya, restoran itu menawarkan sebiji burger ayam atau daging dengan sebotol air mineral pada harga RM5.

"Burger King menawarkan Burger Rahmah ini di 140 restoran mereka di seluruh negara mulai hari ini," katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2023 @ 9:14pm
d