mutakhir

Kerjaya sebagai pempengaruh sesuai dengan keadaan semasa

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kecenderungan anak muda menjadi pempengaruh di laman sosial dan terbabit dalam bidang e-hailing tidak boleh dipandang buruk atau sebaliknya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, beliau beranggapan faktor keadaan semasa dan fenomena hari ini yang menyebabkan dua bidang kerjaya itu menjadi pilihan anak muda.

"Tak boleh tengok ia baik atau buruk tetapi tengok keadaan semasa.

"Kita perlu faham bagaimana fenomena itu berlaku, maksudnya pilihan yang ada hari ini lebih kepada fleksibiliti masa bekerja dan pendapatan, "katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program'Rise & Empower' bersama Adam Adli di Universiti UCSI di Taman Connaught, Cheras, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Amanah Universiti UCSI, Datuk Mohd Karim Abdullah Omar.

Bagaimanapun, Adam Adli berkata, kerajaan harus berusaha membantu belia bagi mendapatkan peluang kerja yang memberi jaminan masa depan untuk jangka masa panjang.

"Usaha kerajaan adalah bagaimana menyediakan peluang pekerjaan yang baik, fleksibel, sesuai dengan pendapatan dan kekangan hari ini.

"Pada masa sama, ia perlulah menjamin masa depan," katanya.

Berhubung Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari depan, Adam Adli berkata, satu bajet inklusif akan dibentangkan nanti.

"Kita akan cuba (bentangkan) bajet inklusif dengan mengambil kira kekangan yang ada," katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2023 @ 1:38pm
d