mutakhir

Sistem iDME ditangguh hingga hujung minggu [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju menangguhkan penggunaan sistem Pengurusan Identiti (iDME) sehingga hujung minggu ini sebagai langkah membaik pulih sistem berkenaan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya berharap guru dapat bertenang seketika sehingga sistem terbabit dapat dibaik pulih sepenuhnya.

Katanya, pihaknya tidak berkompromi dengan isu iDME walaupun ia isu lama, malah KPM memberikan perhatian sehingga ke peringkat negeri.

"Sebenarnya dari awal isu iDME ini telah menjadi perhatian kita dan pihak KPM sentiasa mencuba sedaya upaya untuk memastikan segala berkaitan dengan sistem ini ditambah baik.

"Malah, kita juga sudah mengambil beberapa langkah drastik di peringkat kementerian dan semalam berlangsung sesi perbincangan dengan guru bagaimana sistem ini harus ditangani bersama.

"Saya sudah mengarahkan sistem ini ditangguhkan sehingga hujung minggu ini supaya semua pihak boleh bertenang seketika sebelum satu arahan baharu yang akan dikeluarkan pada Isnin nanti," katanya selepas merasmikan Festival Bakat Prasekolah Peringkat Negeri Sembilan 2023, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Exco Pendidikan, Perindustrian dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Fadhlina mengulas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang menggesa kerajaan segera menangguhkan seketika sistem iDME atau mempertingkatkan capaian pelayan web segera dan mengurangkan laman sesawang khas yang digunakan oleh guru di seluruh negara.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, dilaporkan berkata, sistem berkenaan mengalami masalah capaian pelayan atau server yang lemah, sekali gus menyebabkan guru tertekan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pegawai kementerian di peringkat negeri juga sudah diminta membantu guru.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata, pihaknya tidak berkrompromi dalam isu berkaitan keselamatan dan dokrinasi terhadap kanak-kanak prasekolah.

Beliau berkata, ibu bapa disaran memilih dan menghantar anak mereka ke sekolah seliaan kerajaan kerana membabitkan kepentingan dari aspek perpaduan dan keselamatan terhadap kanak-kanak terbabit.

"Isu perpaduan dalam kalangan generasi muda seharusnya bermula di peringkat prasekolah," katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2023 @ 4:41pm
d