mutakhir

Rais bertanding MKT, turut cabar jawatan Ketua Bahagian Tangga Batu

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Melaka, Datuk Rais Yasin menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada pemilihan parti kali ini.

Menurutnya, dia ingin mencuba nasib dan mempertahankan jawatan MKT yang disandangnya selepas dilantik sebelum ini.

"Saya menawarkan diri untuk bertanding walaupun masih mempunyai umur Pemuda, tetapi saya fikir inilah masanya kalau perwakilan memberi ruang dan peluang kepada pemuda seperti saya berada dalam barisan MKT.

"Ia juga selaras hasrat saya menawarkan diri kerana Umno memerlukan pemimpin muda bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu, "katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Persekolahan Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di Pulau Gadong di sini, petang ini.

Dalam pada itu dia juga mengumumkan untuk merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti kali ini.

Rais berkata, hasratnya bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu menentang penyandang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, bukan lagi menjadi kerahsiaan dalam kalangan ahli di peringkat bahagian.

Menurutnya, beliau menawarkan diri memandangkan kepemimpinan bahagian perlu diberi nafas baharu kerana ini masa yang sesuai untuknya mengumumkan hasrat bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu.

Disiarkan pada: February 11, 2023 @ 7:57pm
d