mutakhir

Mayat lelaki di tasik belakang masjid disahkan mangsa bunuh

Oleh Samadi

Putrajaya: Polis mengesahkan mayat lelaki ditemukan terapung di tasik di belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, semalam, adalah mangsa bunuh.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, berdasarkan pemeriksaan pada tubuh mangsa, ada lima kesan tetakan di bahagian kepala dan pergelangan tangan kirinya hampir putus.

"Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, terdahulu, polis menerima laporan pada 10.15 malam daripada seorang individu yang memaklumkan melihat satu mayat terapung di tasik di belakang masjid berkenaan.

Susulan itu katanya, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sepang bersama pasukan forensik hadir di tempat kejadian dan menemui mayat berkenaan.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cyberjaya kemudian dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke tebing tasik.

"Hasil pemeriksaan mendapati mayat itu adalah lelaki yang berpakaian baju-T berwarna hitam, berseluar jeans hitam dan bertali pinggang. Lelaki itu bertubuh gempal," katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2023 @ 10:44am
d