mutakhir

Pesara tentera terharu terima zakat [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Kemahiran ketika berkhidmat dalam kor Jurutera Elektrik dan Jentera (KJLJD) Rejimen Askar Melayu Diraja (RMAD) tidak disia-siakan seorang pesara tentera, Ngadi Tankar, 72, yang menjadikan ia sumber pendapatan.

Dia seorang pesara tidak berpencen mampu meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarganya di Guar Perahu di sini, dengan membuka bengkel membaiki kenderaan.

Ngadi menyertai pasukan Batalion ke-21 RMAD di Bentong, Pahang selama 10 tahun sejak 1970 sebelum bapa kepada empat anak itu mengambil keputusan berhenti dari tentera serta membuka bengkel membaiki kenderaan di Sungai Ara, Georgetown memandangkan tidak mempunyai pencen.

"Saya hanya mampu berkhidmat selama 10 tahun sahaja sebelum berhenti. Tambahan pula, saya adalah bekas tentera tidak berpencen dan perlu berikhtiar untuk menjana pendapatan bagi menyara anak-anak yang masih kecil ketika itu.

"Namun kini selepas saya tidak lagi mampu berbuat demikian berikutan keadaan kesihatan sudah tidak seperti dahulu selepas terbabit kemalangan jalan raya pada 2011. Saya hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda.

"Isteri yang bertindak sebagai ketua keluarga dan selepas dia berhenti pada 2015 menyebabkan pendapatan kami terputus. Mujur tidak lama kemudian saya memperoleh bantuan RM300 sebulan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas isteri membuat permohonan," katanya ketika ditemui selepas menerima Zakat Waqalah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Ngadi berkata, dia bersyukur menjadi salah seorang penerima yang sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya.

Zakat berkenaan disampaikan Ketua Unit Perniagaan Zon Utara BPB Abdul Roup Awang dengan disaksikan Presiden PVATM Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar dan Yang Dipertua PVATM Negeri Pulau Pinang Mohamad Saufee Hasan.

Seramai 150 ahli PVATM negeri itu terpilih menerima zakat berkenaan daripada syarikat Boustead Plantations Berhad (BPB) yang menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sementara itu, Abdul Roup berkata, bantuan zakat itu diharap dapat meringankan bebanan kos sara hidup yang dialami dalam kalangan warga veteran serta balu ATM yang daif.

"Program ini baharu bermula pada tahun lalu dengan ia dimulakan di Tawau, Semporna dan Sandakan, Sabah sebelum tiba di Sarawak dan Perlis serta Pulau Pinang.

"Secara keseluruhannya, sebanyak RM800,000 diperuntukkan bagi membantu warga veteran serta balu ATM di seluruh negara," katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2023 @ 3:10pm
d