mutakhir

Usaha rapat jurang bandar, luar bandar

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan berusaha merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar sekali gus meningkatkan taraf ekonomi dan peluang pekerjaan di luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, empat aspek utama digariskan untuk diberi penekanan iaitu membabitkan prasarana seluruh bandar, model modal insan, keusahawanan dan ekonomi.

"Daripada keempat-empat bidang ini, kita bukan saja akan memfokus kepada 'output' (hasil), malah 'outcome' (keputusan) di mana akan ada beberapa perubahan serta tindakan susulan daripada semua saranan yang sudah diterima melalui semua peringkat.

"Namun, kita akan mengambil satu langkah ke hadapan untuk melaksanakan semua aspek yang diketengahkan dan berhasrat untuk merapatkan jurang antara di luar bandar dan di bandar supaya tidak berlaku terlalu banyak migrasi atau perpindahan kerana tidak banyak peluang pekerjaan dan perniagaan di luar bandar.

"Oleh itu, kita akan wujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan di luar bandar serta perubahan-perubahan lain dalam memajukan ekonomi di luar bandar dan KKDW akan menjadi pemudah cara kepada transformasi yang telah dimulakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Rumusan Bengkel dan Hala Tuju Strategik KKWD, di sini, hari ini.

Menurutnya, pembangunan luar bandar akan menjadi antara agenda utama KKDW, antaranya mewujudkan peluang pekerjaan baru dalam bidang teknikal serta keusahawanan berdasarkan sumber tempatan.

"Untuk mencipta pekerjaan kita akan melihat industri baru atau sebarang peluang baru selain kita akan lihat beberapa model yang digunakan di negara maju di mana ekonomi di luar bandar mampu menjadi sebagai tulang belakang kepada ekonomi negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, pelantikan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dikemukakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

"PM9 yang mengemukakan nama Nazri dan bukan daripada kerajaan. Namun, pelantikan Nazri diyakini mampu merapatkan hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan AS, selain mengatur pertemuan penting.

"Beliau adalah personaliti sesuai untuk menjadi 'top diplomat' Malaysia di AS. (Tugasnya) bukan saja mengukuhkan jaringan perniagaan dengan perniagaan (B2B, pembiayaan antara rakan setara (P2P) antara dua negara, malah antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).

"Saya percaya Nazri mampu menguruskan dan mengatur perjumpaan penting antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin kanan AS serta pemimpin korporat negara itu," katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2023 @ 3:19pm
d