mutakhir

Nurul Izzah lepas jawatan Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri

Oleh Rohaniza Idris

Kuala Lumpur: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengesahkan tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang menjadi tumpuan kerana kontroversi pelantikannya berkata, beliau kini menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican.

"Mohd Hassan telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

"Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, timbul kontroversi dengan pelantikannya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelantikan itu didedahkan Nurul Izzah dalam temu bual dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mana berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Nurul Izzah berkata, beliau menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.

"Saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.

"Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau turut menyatakan harapan memberikan perkhidmatan membantu Mohd Hassan beserta anggota jawatankuasa lain bagi memberi manfaat kepada negara.

"Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh Jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita," katanya.

Rabu lalu, Anwar mengumumkan lima individu menganggotai badan penasihat khas yang akan membantunya sebagai Menteri Kewangan membabitkan golongan profesional dan pakar ekonomi dengan diketuai Hassan yang juga Penasihat Petronas.

Empat lagi anggota berkenaan ialah Pengerusi Eksekutif FVSB, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng; Profesor Ekonomi Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Ulung Dr Rajah Rasiah; serta Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Abdul Hamed Sepawi.

Disiarkan pada: February 12, 2023 @ 4:02pm
d