mutakhir

Penstrukturan semula JIM dijangka dilulus Julai

Oleh Izz Laily Hussein

Johor Bahru : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam proses melakukan penstrukturan semula bagi menjadikan jabatan itu lebih kompeten dan cekap.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kertas cadangan bagi penstrukturan semula jabatan itu sudah dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat.

Katanya, penstrukturan semula jabatan itu mendapat sokongan penuh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan dijangka mendapat kelulusan Julai nanti sebelum dilaksanakan tahun ini.

"Kementerian dan menteri menyokong penuh penstrukturan semula ini kerana ia akan mewujudkan satu peluang kerjaya yang lebih baik dari segi kenaikan pangkat pegawai imigresen dari skim Perkhidmatan dan Pertahanan Awam ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan pelaksanaan Pasukan Khas Tindak Cepat (QRT) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, langkah ini juga membolehkan JIM menarik bakat yang mempunyai kelulusan lebih tinggi menyertai jabatan itu.

Beliau yakin perkara ini bakal menarik minat umum untuk menyertai agensi penguat kuasa itu kerana mempunyai laluan kerjaya jangka panjang yang lebih terjamin.

Sementara itu, beliau berkata, buat masa ini, jumlah keanggotaan jabatan itu masih mencukupi dan dapat menampung keperluan jabatan untuk berfungsi sebaiknya.

Disiarkan pada: February 12, 2023 @ 5:07pm
d