mutakhir

Faizal akui ada bincang pelawa KJ bertanding di NS

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kepemimpinan dan rekod perkhidmatannya yang baik menjadi faktor utama parti gabungan Perikatan Nasional (PN) mempelawa Khairy Jamaluddin untuk bertanding atas tiket PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, terdapat perbincangan secara tidak rasmi dalam kalangan kepemimpinan gabungan itu mengenai cadangan membawa Khairy bertanding atas tiket PN pada PRN akan datang, selepas pemecatannya daripada Umno.

Ini kerana, katanya, Khairy atau KJ adalah seorang pemimpin yang baik dan diterima oleh sebahagian besar rakyat.

Katanya, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menunjukkan prestasi cukup baik sebagai Menteri Kesihatan ketika negara berhadapan dengan waktu sukar susulan pandemik Covid-19.

"Beliau (KJ) juga digambarkan oleh pelbagai parti politik sebagai seorang pemimpin berpotensi.

"Jadi, kami (PN) amat mengalu-alukan beliau bekerjasama dengan kami (dalam PRN) kerana yakin hasrat beliau untuk melawan kemungkaran dan memperbaiki sistem penyampaian dalam kerajaan negeri serta pusat itu selari dengan apa yang diperjuangkan dalam PN.

"Kami yakin inilah wadah perjuangan untuk beliau, namun apa juga keputusan yang beliau buat nanti, saya amat hormati sebagai seorang sahabat," katanya selepas menyampaikan ucap utama program Semarak Kebangkitan Rakyat PN Negeri Sembilan, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PN merangkap Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith; Setiausaha PN Negeri Sembilan, Nazree Yunus dan Pengerusi BPN Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Ahmad Faizal diminta mengulas mengenai syor pelbagai pihak terutama kepemimpinan Bersatu agar KJ dicalonkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan jika bekas Ketua Pemuda Umno itu bersetuju bertanding atas tiket PN dan menang pada PRN negeri.

Menurutnya, beliau juga ada bincang dengan KJ bagi tujuan itu, tetapi belum ada keputusan lagi.

"Mungkin ketika ini beliau sedang fokus untuk tugasan DJ di radio HotFM," katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2023 @ 9:52pm
d