mutakhir

Satu hilang, enam selamat perahu karam

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Seorang hilang manakala enam lagi selamat selepas perahu mereka naiki karam di muara Sungai Song dalam Bahagian Kapit, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kejadian itu dimaklumkan orang awam pada 11.17 malam kepada anggota bomba yang kebetulan sedang mengadakan rondaan monsun timur laut (MTL) di kawasan jeti pekan Song.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, perahu yang dinaiki tujuh lelaki yang dalam perjalanan dari Rumah Panjang Ekeh, Nanga Pan ke pekan Song, karam di muara sungai.

"Mangsa yang selamat berjaya menghubungi keluarga mereka di pekan Song seterusnya memaklumkan kejadian itu kepada bomba.

"Sejurus menerima maklumat itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song bersama orang awam bergerak ke lokasi kejadian yang terletak di seberang pekan Song," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian di muara Sungai Song, didapati enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan dua daripadanya pengsan dipercayai keletihan selepas berenang ketika menyelamatkan diri.

Bagaimanapun katanya, seorang lagi mangsa iaitu Gawing Mancha, 47, gagal dikesan.

"Enam mangsa yang selamat kemudian dibawa menaiki perahu orang awam ke jeti pekan Song sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya lagi, hasil perbincangan dengan polis serta keluarga mangsa, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa yang hilang ditangguhkan tengah malam tadi berikutan keadaan gelap serta air deras dan pencarian diteruskan pagi ini.

Disiarkan pada: February 13, 2023 @ 9:22am
d