mutakhir

Tempuh perjalanan 1,000 kilometer untuk agih sumbangan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Iskenderun, Turkiye: Menempuhi perjalanan lebih 1,000 kilometer bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa gempa bumi di tiga wilayah.

Itu dilakukan pertubuhan kemanusiaan merentasi sempadan, Muslim Care Malaysia (MCM) yang menyampaikan bantuan kepada lebih 1,000 keluarga di wilayah Hatay, Adana dan Diyabakir.

Walaupun pelbagai cabaran di lalui termasuk kesukaran ke lokasi bencana namun itu ia tidak mematahkan semangat tiga sukarelawan MCM.

Penulis yang mengikut misi kemanusiaan gempa bumi Turkiye-Syria melihat kesungguhan MCM dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana.

Timbalan Pengerusi MCM, Mohd Johari Ismail berkata, bantuan berupa barangan keperluan asas seperti makanan, lampin pakai buang, wang tunai, selimut dan baju sejuk diagihkan di pusat perlindungan serta khemah yang didirikan mangsa.

"Bantuan diagihkan MCM tanpa mengira siapa pun mereka, MCM mengagihkan kepada mangsa yang terjejas teruk.

"Seperti contoh di wilayah Hatay, satu daripada kawasan yang menerima impak teruk akibat gempa bumi Isnin lalu, bantuan disalurkan secara tunai kerana ianya lebih sesuai di kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, setakat ini pihaknya sudah menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM101,000 pada misi bantuan gempa bumi Turkiye-Syria.

"Di Syria sumbangan dan bantuan sudah diserahkan kepada wakil MCM iaitu Pengerusi MCM Syria, Muhammad Khatib bersama beberapa sukarelawan lain.

"Kami tidak dapat masuk ke Syria susulan proses dokumentasi yang ketat yang memerlukan permohonan lebih awal dilakukan," katanya.

Sementara itu, penerima sumbangan, Abu Ahmad Muhaamad, 45, menzahirkan kesyukuran atas sumbangan yang diberikan.

"Syukran (terima kasih) saya tidak tahu bagaimana ingin membalasnya, jumpa di syurga nanti.

"Anda semua memang insan terpilih, Malaysia ada orang yang baik-baik," katanya.

Rakyat Malaysia yang prihatin boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882, Bank Islam 14014010147470, Bank Rakyat 1101744599 selain ke akaun Bank CIMB Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia 8604171675.

Slip sumbangan boleh dimaklumkan kepada exco untuk rekod dan dokumentasi melalui Hotline: 011-5005 0035 atau kepada Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail 016-997 8323 dan Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar 013-488 6447.

Disiarkan pada: February 13, 2023 @ 11:47am
d