mutakhir

Siaran radio stesen tempatan Sabah, Langkawi diawalkan

Oleh BERNAMA

Kuantan: Siaran radio TAWAUfm, SANDAKANfm, KENINGAUfm, LABUANfm dan LANGKAWIfm yang sebelum ini bermula 7 pagi akan diawalkan kepada 6 pagi, kata Ketua Pengarah Penyiaran Suhaimi Sulaiman.

Beliau berkata, masa siaran KENINGAUfm yang tamat pada 5 petang turut dilanjutkan selama dua jam iaitu sehingga 7 malam.

"Ini bermakna siaran tempatan semua stesen ini diselaraskan hari ini bermula 6 pagi hingga 7 malam. Stesen tempatan di Sabah iaitu TAWAUfm, SANDAKANfm dan KENINGAUfm akan menyambung siar stesen SABAHfm dan NASIONALfm sehingga 6 pagi keesokkan, manakala LABUANfm serta LANGKAWIfm akan menyambung siaran NASIONALfm.

"Ia merupakan usaha kami di RTM secara berterusan untuk memberikan info semasa yang sahih dan mutakhir serta hiburan kepada pendengar setia khususnya masyarakat tempatan secara gratis (percuma)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Radio Sedunia 2023 di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal.

Menyentuh mengenai sambutan yang bertemakan 'Radio dan Keamanan' itu, Suhaimi memaklumkan program berkenaan dimeriahkan dengan rakaman program berbalas pantun dan drama membabitkan penyampai radio RTM serta aktiviti gotong-royong memasak khas untuk gelandangan dan anak yatim.

Selain itu, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menanam anak pokok di Pantai Kempadang, di sini, membabitkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bersama pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi awam turut dilaksanakan bagi menjayakan agenda nasional iaitu Kempen Penanaman 100 juta pokok.

Disiarkan pada: February 13, 2023 @ 2:07pm
d