mutakhir

Bekalan air di 12 kawasan di Klang belum pulih

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Shah Alam: Sebanyak 12 kawasan di Klang masih mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA), semalam.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, kawasan itu adalah Armada Putra, Bandar Baru Bukit Raja, Kampung Pulau Indah, Kampung Pulau Indah - Taman Samudera, Kampung Pulau Indah - Wisma Polis Marin, Pulau Indah dan Kampung Teluk Gong.

Turut terjejas Perindustrian Pulau Indah Fasa 1, Perindustrian Pulau Indah Fasa 2, Perindustrian Pulau Indah Fasa 3 (IKEA), Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Ketam dan Westport.

"Setakat jam 8 malam ini, status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas sudah mencapai 99 peratus.

"Hanya 12 kawasan di wilayah Klang sahaja belum pulih sepenuhnya," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook Air Selangor, malam ini.

Air Selangor berkata, bekalan air di wilayah itu dijangka pulih sepenuhnya jam 6 pagi esok.

Menurutnya, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor.

"Air Selangor berharap pengguna yang sudah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan," katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2023 @ 9:01pm
d