mutakhir

Nekad rempuh kereta selepas dikejar pemilik Volkswagen

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Sungai Buloh: Rempuh beberapa kereta yang berhenti akibat kesesakan sebelum memecut laju kereta curi selepas dikejar pemiliknya.

Itu tindakan gila dilakukan seorang lelaki yang mencuri kereta Volkswagen MK6 GTI yang diletakkan di parkir di Taman Mutiara Subang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar, berkata, kejadian berlaku pada jam 5.15 petang 10 Februari lalu apabila pemilik kereta berusia 38 tahun terdengar enjin keretanya dihidupkan ketika berada di dalam kedai bengkel keretanya.

Menurutnya, mangsa bersama rakannya kemudian mengejar suspek dengan menaiki motosikal tetapi gagal.

"Semasa dilarikan hingga di kawasan stesen minyak Subang Bestari kenderaan itu terhenti dalam kesesakan lalu lintas.

"Mangsa sempat pecahkan cermin hadapan tetapi suspek terus memecut untuk melarikan diri dan berlanggar beberapa kenderaan lain," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, selepas itu suspek melarikan kereta itu menghala Lebuhraya Dash.

"Hasil semakan di lokasi kejadian mendapati terdapat satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang nampak seorang lelaki turun dari Perodua Myvi warna kelabu dan masuk ke dalam kereta mangsa dan terus melarikan kenderaan.

"Hasil siasatan setakat ini pihak polis sudah merakam percakapan saksi yang terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2023 @ 9:42pm
d