mutakhir

Wanita cedera dibelasah suami penagih

Oleh Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Wanita cedera dibelasah suaminya yang juga seorang penagih dadah di Kampung Banggol Pak Esah, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun cedera di bahagian kepala dan leher selepas dicekik suspek berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, mangsa membuat laporan polis pada 1.16 petang semalam.

Katanya, punca kejadian dipercayai suspek menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

"Suspek ditahan di rumah mereka selepas laporan dibuat dan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

"Ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkait dadah," katanya dalam kenyataan kepada media.

Zaizul Rizal berkata, mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan /18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

Disiarkan pada: February 13, 2023 @ 10:06pm
d