mutakhir

Rakyat Malaysia parah ditembak di Betong

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Rakyat Malaysia parah selepas ditembak tiga das oleh penyerang tidak dikenali ketika sedang menunggang motosikal dekat sebuah kedai serbaneka di bandar Betong, Wilayah Yala, Thailand, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim, berkata, mangsa, 55, yang berasal dari Pengkalan Hulu dikatakan sering keluar masuk ke Betong sejak sekian lama kerana mempunyai seorang isteri warga Thailand selain pernah menjalankan perniagaan pusat hiburan di Betong.

Beliau berkata, kejadian jam 9 malam waktu tempatan itu mengakibatkan mangsa yang parah di perut dan peha dibawa ke hospital di Betong bagi rawatan lanjut.

"Mangsa yang sedang menunggang motosikal ditembak sebanyak tiga das oleh seorang penyerang yang tidak dikenali semasa berada di hadapan sebuah kedai serbaneka.

"Suspek yang menyerang dipercayai adalah warga Thailand namun identitinya tidak dikenal pasti dan berjaya melarikan diri serta belum ditangkap," katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurutnya, kes bagaimanapun tidak disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya disiasat oleh Polis Thailand dan pihak berkuasa negara itu masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek selain bagi mengenal pasti motif serangan.

"Siasatan sama ada motif kejadian berunsurkan perbalahan peribadi atau sebaliknya perbalahan berkaitan perniagaan," katanya.

Zulkepli berkata, mangsa mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah di Malaysia.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 12:06am
d