mutakhir

18 lot parkir tak boleh pakai!

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan tersadai serta bengkel haram terutama di kawasan parkir Pangsapuri PKNS Kampung Tasik Tambahan, di sini, bagi memastikan masalah ini tidak terus berleluasa.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat MPAJ Norhayati Ahmad berkata, sebelum ini, MPAJ sudah menyita dan mengeluarkan notis kepada pemilik bengkel haram yang beroperasi di kawasan parkir pangsapuri itu.

Katanya, tindakan itu diambil susulan aduan diterima pihaknya tahun lalu.

"Kita mengeluarkan notis dan melakukan sitaan terhadap pemilik kenderaan tersadai di kawasan itu dan pengusaha bengkel terbabit.

"Pelaku kesalahan sama seperti ini boleh dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil (MPAJ) 2007 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133)," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan lambakan kereta tersadai dan kewujudan bengkel kenderaan di Pangsapuri PKNS Kampung Tasik Tambahan di sini, sejak lebih 10 tahun lalu menyebabkan penduduk berdepan masalah kekurangan parkir.

Seorang penduduk, Johan, 40-an, berkata, dianggarkan antara 17 hingga 18 lot parkir digunakan pemilik bengkel serta kenderaan tersadai di kawasan berkenaan.

"Sejak tinggal di sini pada 1980-an, sudah lebih 10 aduan dikemukakan arwah bapa saya dalam tempoh 10 tahun lalu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai isu itu, namun belum ada tindakan drastik yang kekal diambil," katanya.

Norhayati turut mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan menjalankan perniagaan seperti bengkel tanpa lesen adalah satu kesalahan terutama di kawasan penempatan.

"Kawasan Pangsapuri PKNS Kampung Tasik Tambahan bukan lot komersial untuk premis perniagaan beroperasi.

"Kewujudan bengkel haram dan lambakan kenderaan buruk yang tersadai juga boleh menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk," katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 6:30am
d