mutakhir

Bantuan segera RM200,000 atasi banjir kilat di Bukit Tinggi

Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan: Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan segera berjumlah RM200,000 bagi menaik taraf sistem dan menyelesaikan masalah banjir kilat yang berlaku di Bukit Tinggi, Bentong.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu adalah perancangan jangka pendek yang mana ia bertujuan untuk membaik pulih sistem paip dan longkang yang tersumbat.

"Peruntukan ini diluluskan selepas saya meninjau sendiri keadaan banjir yang berlaku di kampung ini pada petang tadi (semalam)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, petang semalam.

Katanya, bagi tindakan jangka panjang, pihaknya meminta satu permohonan rasmi dibuat membabitkan peruntukan berjumlah RM4 juta hingga RM5 juta bagi membina jambatan untuk mengelak kejadian ini berulang.

"Selain itu, saya turut berpuas hati dengan tindakan segera yang telah diambil Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Bentong bersama dengan agensi-agensi yang terbabit dalam menguruskan banjir kilat yang berlaku pada petang kelmarin yang membabitkan dua kawasan iaitu di Kampung Bukit Tinggi dan juga Janda Baik.

"Saya berharap semoga penduduk yang terbabit dapat bersabar menghadapi ujian ini," katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 10:48am
d