mutakhir

Pegang dua jawatan dalam kerajaan bukan isu - PM [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: "Saya hendak beritahu, dalam sejarah kita, sama ada (jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan) digabungkan atau tidak, itu bukan masalah.

"Yang masalahnya guna kedudukan untuk rompak harta rakyat," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu dua jawatan disandang beliau ketika ini.

Beliau berkata, ketirisan boleh berlaku kepada sesiapa saja jika gelap mata, menggunakan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan diri sendiri.

"Ini terpakai di banyak kalangan. Yang bersih sama ada belah sana (pembangkang) atau belah sini (kerajaan) jangan bimbang.

"Tetapi yang terpalit dengan rasuah itu harus rasa tertekan dan bimbang.

"Saya bertekad apapun telahan dibuat, saya akan gunakan segala usaha bagi mengelak dan menghalang khianat rasuah yang berleluasa," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) sama ada memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan mewujudkan ruang kepada berlakunya masalah termasuk skandal yang berlaku seperti zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui kebenaran berlaku ketirisan pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu, namun turut menyindir perkara sama yang berlaku pada pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

"Tetapi dalam pemerintahan PN, selain 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerosakan banyak juga termasuk perbelanjaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (JanaWibawa), projek tebatan banjir dan beberapa ketirisan lain yang masih dalam siasatan.

"Ada yang bertanyakan kenapa perlu disiasat, itu urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain.

"Apakah ada tindakan undang-undang dan pendakwaan, itu urusan Peguam Negara.

"Saya ingat, kalau YB (Radzi) sabar, mungkin dalam masa terdekat ada berita baik untuk rakyat," katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 12:02pm
d