mutakhir

Bangkit selepas tiga bulan murung akibat hilang mata kanan [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kajang: Insiden terkena letupan cecair tong cuci kereta pada saraf dan anak mata dua tahun lalu menjadi titik hitam buat Muhammad Saiful Mat Idin apabila hilang penglihatan kanannya.

Apa yang berlaku menyebabkan Muhammad Saiful, 29, hampir berputus asa kerana menyedari dirinya tidak normal seperti dulu.

Bagaimanapun, sokongan isteri, Nurul Aida Fatihatul Suria Abdul Rahman, 26, dan keluarga memberi semangat untuk Muhammad Saiful bangkit selepas tiga bulan melalui fasa kemurungan.

Bermodalkan spanar dibeli di kedai serbaneka, Muhammad Saiful gunakan kemahirannya untuk mengambil upah membaiki kenderaan di rumah.

Berkat usaha dan kesungguhan, Muhammad Saiful dapat membuka bengkel diberi nama Epul Garage (Shaarraz empire @Aweykj) yang terletak di Jalan Nilam, di sini dengan hasil titik peluhnya itu.

"Saya bersekolah sampai Tingkatan Dua saja dan nekad berhenti kerana mahu menjaga ayah yang diserang angin ahmar.

"Sejak itu, saya ambil upah kerja kampung untuk membantu keluarga.

"Lagipun, saya anak sulung jadi perlu ambil tanggungjawab itu. Kebetulan, saya minat motosikal dan kereta jadi saya mengikuti pengajian peringkat sijil di GiatMARA, di situ saya banyak belajar kemahiran berkenaan," katanya ketika ditemui di bengkelnya.

Berkongsi cabarannya melakukan kerja baik pulih kenderaan dengan satu mata, Muhammad Saiful mengakui ia bukan tugas yang mudah.

Bagaimanapun, Muhammad Saiful bersyukur kerana masih mendapat sokongan pelanggan yang menghantar kenderaan mereka untuk dibaik pulih olehnya.

"Selain baik pulih kerosakan, saya juga ada tawarkan khidmat baiki kereta di bengkel namun pelanggan yang datang perlu membuat tempahan dalam talian terlebih dulu.

"Cabaran bekerja dengan sebelah mata adalah ketika melakukan kerja yang perlukan ketelitian antaranya membersihkan habuk atau baiki kesan calar.

"Jadi, agak mengambil masa di situ berbanding orang normal dan mujurlah pelanggan faham selepas beritahu mereka (pelanggan) keadaan saya.

"Ramai pelanggan tak tahu mata kanan saya tidak dapat melihat kerana nampak normal jika tengok sekali imbas," katanya.

Berkongsi hala tujunya, Muhammad Saiful berharap perniagaannya di bengkel sekarang bertahan lama.

"Sebenarnya, saya baru berpindah ke sini Ogos tahun lalu dan ia adalah bengkel yang keenam.

"Sebelum ini saya pernah ada rakan kongsi tetapi tidak menjadi dan kerap pindah bengkel disebabkan pelbagai masalah termasuklah berkaitan kadar sewa.

"Sampai satu tahap, saya hampir terfikir untuk tinggalkan bidang ini dan bekerja dengan orang tetapi ditakdirkan rezeki masih ada jadi terus positif serta pandang ke hadapan," katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 8:11pm
d