mutakhir

KPM pastikan seruan Agong berhubung pendidikan dilaksanakan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) bertekad memastikan seruan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung beberapa perkara membabitkan bidang pendidikan dilaksana demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu termasuk memastikan ia menerajui Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi menyambut agenda pendidikan digital negara seiring dengan keperluan kini dan masa hadapan pendidikan.

"KPM juga komited untuk memastikan prasarana dan infrastruktur institusi pendidikan di bawah KPM sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif melalui projek menaik taraf atau penggantian blok bangunan sekolah daif.

"Dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), ia akan terus diperkasa untuk melahirkan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri dan negara menerusi pendekatan usahasama antara pihak awam dan swasta," menurut kenyataan itu.

KPM berkata dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah, KPM juga memperkasakan penggunaan Modul Intervensi Jenayah Seksual Kanak-kanak di Sekolah (IHSAN) selain membuat penelitian dan semakan berkaitan peraturan disiplin murid yang lebih komprehensif.

Semalam, sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Seri Paduka menyentuh beberapa perkara melibatkan pendidikan antaranya memaklumkan dasar pendidikan digital merangkumi penyediaan infrastruktur dan keupayaan digital sedang dirangka bagi merealisasikan agenda pendidikan digital negara dan menjamin akses kepada pendidikan.

Al-Sultan Abdullah turut menyokong usaha agar TVET terus diperkasa termasuklah mengadakan usahasama antara pihak awam dan swasta dengan pihak industri menerajui pengoperasian institusi TVET awam bagi memastikan graduan institusi tersebut dilatih berdasarkan keperluan semasa industri setempat.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 9:18pm
d