mutakhir

Buat jenayah dari selatan ke utara [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Sanggup memandu beratus kilometer (km) dari selatan ke utara tanah air, semata-mata untuk melakukan jenayah, memecah mesin penukar token permainan.

Bagaimanapun, kegiatan enam individu termasuk suami isteri dan adik-beradik itu tumpas selepas diberkas polis, Ahad lalu dan kini direman lima hari hingga 17 Februari untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, semua suspek diberkas susulan laporan diterima daripada pengendali permainan pada 31 Januari lalu, yang mendakwa kerugian RM2,365.

Katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut mengesan kesemua suspek yang menaiki kenderaan di Sungai Nibong pada 10.30 malam.

"Empat lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 32 tahun dan berasal dari negeri di selatan tanah air dalam kenderaan itu.

"Tiga daripada mereka adalah adik-beradik dan semakan mendapati kesemuanya mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah, dan ujian saringan air kencing mendapati seorang daripadanya positif dadah," katanya.

Soffian berkata, pihaknya merampas kereta, telefon bimbit (lima), alat pemotong (tiga), pemutar skru dan wang tunai sebanyak RM729.

Katanya, suspek yang pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan sama, didapati kali kedua datang ke Pulau Pinang dan menginap di hotel sebelum diberkas.

"Suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan, buruh binaan, peniaga pakaian terpakai, juru elektrik dan pembuat kepok kubur, sebelum berhenti kerja dan aktif sepenuhnya dengan kegiatan itu sejak Januari lalu.

"Mereka akan berkumpul beramai-ramai di mesin terbabit (di pasar raya) seolah-olah sedang bermain permainan itu, sebelum seorang daripadanya memotong mangga kunci dan mencuri wang di dalam mesin itu.

"Suspek juga turut memecahkan mesin wang pada kerusi urut," katanya yang memberitahu 11 kes pecah mesin berjaya diselesaikan susulan penahanan itu, iaitu enam kes di Pulau Pinang, masing-masing dua di Kedah, Perak dan satu di Kelantan.

Disiarkan pada: February 15, 2023 @ 5:52pm
d