mutakhir

Mayat dengan kesan luka terapung dalam tali air

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Mayat lelaki dengan kesan luka di belakang badan dan kepala ditemui dalam tali air Pida 1 Tok Tambak, Mukim Tunjang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan itu pada 8.28 pagi dan sepasukan anggota ke lokasi.

"Pemeriksaan mendapati, mayat lelaki itu lengkap berpakaian namun dengan kesan luka dan dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam," katanya ketika dihubungi.

Rodzi berkata, siasatan di lokasi turut menemukan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR)berhampiran mangsa yang dipercayai berbangsa Rohingya.

Katanya, pihaknya mendapati terdapat laporan polis yang dibuat di Padang Besar, Perlis semalam mendakwa si mati tidak datang ke tempat kerja.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2023 @ 6:30pm
d