mutakhir

Premis jual alat ganti tiruan diserbu

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kegiatan dua syarikat pengedar alat ganti kenderaan di Batu Caves, Gombak dan Cheras, di sini, menjual alat ganti tiruan mengundang padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 7 Februari lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya adalah hasil daripada maklumat pemilik cap dagangan berdaftar barangan terbabit serta risikan awal yang dilakukan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit, pasukan serbuan menemui sejumlah 3,043 unit alat ganti kenderaan iaitu penapis minyak kenderaan, penapis angin kenderaan dan tali sawat kenderaan yang menggunakan jenama Hyundai dan KIA yang disyaki tiruan.

"Kesemua alat ganti tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 240,792.

"Pasukan serbuan juga bertindak menahan dua lelaki yang mengaku sebagai pemilik kedua-dua premis terbabit, berusia lingkungan lewat 30 dan 40-an untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, KPDN ingin memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan aktiviti menjual barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah, terutamanya alat ganti kenderaan seumpama ini kerana boleh mengancam keselamatan pengguna.

"Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terutamanya apabila membeli alat ganti kenderaan sama ada di premis fizikal atau secara

dalam talian agar tidak mudah terpedaya selain tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan keselamatan pengguna itu sendiri," katanya,

Disiarkan pada: February 15, 2023 @ 9:28pm
d