mutakhir

KPWKM tumpu laksana Akta 840 tahun ini [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menumpukan pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2021 (Akta 840) pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, akta terbabit sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah pada 8 Oktober lalu dan diwartakan pada 18 Oktober lalu.

Menurutnya, kementeriannya juga akan memastikan supaya peraturan dan tribunal dapat dibangunkan pada tahun ini, selain mahu program hebahan dan advokasi dapat dimulakan dengan kadar segera.

"Saya yakin KPWKM dan pihak media boleh bekerjasama rapat untuk merealisasikan hasrat supaya segenap lapisan masyarakat mendapat kesedaran akan adanya akta itu dan kebaikannya.

"Semua orang mesti menghentikan sebarang bentuk perlakuan gangguan seksual dengan serta merta," katanya dalam ucapannya pada majlis KPWKM Bersama Media 2023, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain Akta Antigangguan Seksual, KPWKM juga bertanggungjawab terhadap 11 akta lain termasuk akta di bawah kementerian dan agensi lain tetapi ia membabitkan fungsi KPWKM.

Katanya, KPWKM juga memikul amanah dengan mewakili kerajaan dan menyediakan laporan negara melalui pelbagai komitmen, deklarasi dan konvensyen antarabangsa berkaitan wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).

"Ia antaranya Convention on the Eliminations of Discrimination Against Women (CEDAW), Convention on the Rights of Children (CRC) dan Convention on the Rights of People with Disabilities (CRPD).

"Kita turut bertanggungjawab melaksanakan beberapa dasar dan pelan tindakan membabitkan kumpulan sasar yang kebanyakannya adalah golongan rentan.

"Contohnya seperti Dasar Kanak-kanak Negara, Pelan Tindakan OKU, Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) dan sebagainya. KPWKM sebenarnya sudah banyak membantu rakyat yang memerlukan dalam segenap sudut," katanya.

Sementara itu, Nancy berkata, KPWKM juga mengiktiraf dan menghargai peranan semua pengamal media dalam membantu melaporkan inisiatif dilaksanakan kepada kumpulan sasar di seluruh negara.

"Saya percaya media berperanan sebagai 'helping hands' kepada Kerajaan bagi membantu

menyebar luas inisiatif kerajaan sekali gus sebagai 'change agent' yang menyampaikan maklumat sahih kepada kumpulan sasar," katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2023 @ 10:12pm
d