mutakhir

12,000 telur ayam habis dijual tak sampai 3 jam

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Sebanyak 12,000 telur ayam habis dijual dalam tempoh kurang tiga jam di Pasar Tani Bukit Rangin Perdana 2 di sini, semalam.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang, Saiful Sadri berkata, jelas program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) 2023 mendapat sambutan luar jangkaan masyarakat.

"Tidak sampai tiga jam, telur ayam habis dijual sebaik pasar tani dibuka pada jam 3 petang.

"Seramai 60 peniaga terbabit dalam jualan itu dan kita harap ia membantu meringankan beban pengguna melalui JTDL," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Saiful berkata sebanyak 51,600 telur ayam gred A, B, C dan omega dijual menerusi JTDL 2023 bermula bulan lalu hingga kelmarin.

Katanya, jualan telur ayam itu membabitkan enam lokasi JTDL 2023 yang turut menjual ayam, sayur, ikan dan buah.

"Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama membabitkan jualan telur ayam, ayam, buah dan sayur.

"Sebagai contoh, harga telur ayam yang ditawarkan lebih murah antara RM1 dan RM3 bagi satu papan mengikut gred.

"Ketika ini, satu papan mengandungi 30 biji telur ayam yang dijual itu membabitkan gred A yang dijual pada harga RM13, B (RM12.50), C (RM12) dan omega pula RM16.

"Berbanding di tempat lain, harga telur ayam mengikut gred dijual antara 13 dan RM19," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2023 @ 10:39am
d