mutakhir

Ini laluan pejalan kaki, bukan tempat parkir motosikal sewa

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Lumut: Sikap mementingkan diri segelintir pengusaha motosikal sewa yang memarkir jentera itu di laluan pejalan kaki pekan Pulau Pangkor ternyata mendatangkan mudarat kepada banyak pihak.

Tindakan tidak prihatin golongan berkenaan sehingga menjejaskan keselamatan pelancong mendapat perhatian Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Yang Dipertua MPM Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pihaknya menerima banyak laporan daripada pelancong dan pemilik premis perniagaan berkaitan isu lambakan parkir motosikal sewa yang menyakitkan mata serta menyukarkan pejalan kaki.

"Ruang luas berbumbung berkenaan adalah hak awam bagi menjamin keselamatan pejalan kaki dan keselesaan pemilik premis.

"Walaupun tindakan sitaan dan kompaun sudah dikenakan namun pengusaha terus memarkir motosikal secara haram di lokasi berkenaan," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya, MPM sudah menyediakan laluan secara sehala dan tempat memarkir motosikal sementara khas untuk orang awam yang berurusan di bank atau premis perniagaan di kawasan berkenaan.

"Selain itu, ruang untuk menurunkan penumpang dan barangan juga disediakan untuk kemudahan serta keselesaan pemilik premis.

"Kita khuatir perkara ini memberi imej buruk dan menjejaskan kedatangan pelancong ke Pulau Bebas Cukai ini. Akhirnya, pendapatan penduduk dan peniaga yang terjejas," katanya.

Pemilik premis perniagaan hasil laut, Simon Oh, 50, berkata, ada beberapa pelancong terjatuh di hadapan kedainya disebabkan laluan pejalan kaki itu terhalang.

"Kasihan ada pelancong, lebih-lebih lagi warga emas yang tersadung ketika melangkah melepasi palang besi di hadapan deretan premis ini.

"Saya risau pelancong tidak mahu singgah ke premis kami lagi selepas ini. Saya harap MPM dapat ambil tindakan yang sewajarnya," katanya ditemui di premis perniagaannya.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang lelaki tersadung di hadapan sebuah premis perniagaan di pekan Pulau Pangkor. Ia turut mendapat reaksi pelbagai pihak.

Disiarkan pada: February 16, 2023 @ 1:01pm
d