mutakhir

Elaun khas kepada pasukan penyelamat sertai SAR gempa bumi Turkiye

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memberikan elaun khas kepada pasukan penyelamat negara yang menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) gempa bumi di Turkiye.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan berbincang dengan Jabatan Perbendaharaan bagi memutuskan nilai sebenar elaun berkenaan.

Katanya, beliau yang berkesempatan bertemu pasukan berkenaan di Turkiye melihat sendiri keazaman dan semangat tinggi mereka dalam berdepan cabaran bertugas di luar negara termasuk cuaca sejuk melampau.

"Apabila saya turun menemui rakan-rakan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan sebahagian kumpulan itu, saya sangat terharu kerjanya dua minggu nampaknya letih lesu dan masuk (bertugas) ke daerah mereka belum biasa.

"Beberapa jam di situ bercakap dengan ratusan mereka, tiada seorang pun mengeluh keletihan dan makan minum semuanya bersyukur kepada Allah dapat bekerja.

"Itu mendorong saya menambah penghargaan kepada mereka selain sijil, saya usulkan pingat khidmat khas dan elaun khas untuk semua bertugas berdasarkan jumlah hari mereka bertugas," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Katanya, beliau juga bersetuju melanjutkan lagi tempoh pasukan berkenaan berkhidmat selepas mengambil kira permohonan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

"Sepatutnya (misi SAR) SMART sampai dua minggu saja, tetapi perbincangan saya dengan Erdogan, dia mohon kalau boleh kita teruskan sebab terlalu ramai mayat masih tertimbus yang memerlukan usaha kita.

"Jadi, saya bersetuju meneruskan (lanjutkan tempoh pasukan SMART) tetapi andai kata antara mereka ada masalah kesihatan boleh segera pulang (tanah air)," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2023 @ 1:42pm
d