mutakhir

Lelaki cedera kereta jatuh gaung

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lelaki cedera di dahi dan lengan kanan selepas kereta Honda Civic dipandunya terbabas dan jatuh ke dalam gaung di Taman Desa Petaling, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 3:21 petang, seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Mohd Firdaus Dzulkifli berkata, pasukan keluaran operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dengan kekuatan anggota seramai tujuh orang.

Menurutnya, setibanya jentera di lokasi kejadian pada jam 3:30 petang kereta terbabit terjatuh ke dalam gaung pada kedalaman 15 ke 20 meter.

"Mangsa berusia 39 tahun mengalami kecederaan di dahi dan lengan kanan.

"Mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Disiarkan pada: February 16, 2023 @ 6:44pm
d