mutakhir

Ditahan berkhalwat bersama rakan baik suami [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang wanita berusia 29 tahun dicekup berkhalwat bersama rakan suaminya di rumah mereka di Semabok, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ibu kepada dua anak dan pasangannya lelaki berusia 61 tahun itu ditahan dalam serbuan jam 1.05 pagi.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, wanita itu mengaku suaminya berusia 38 tahun tiada di rumah kerana bekerja shif malam sebagai pengawal keselamatan di Batu Berendam.

"Wanita itu mengaku hanya dia bersama dua anak berusia tiga tahun dan tiga bulan berada di dalam rumah bersama rakan sekerja suaminya itu.

"Lelaki itu pula mendakwa sudah enam bulan menetap di situ berikutan baru mendapat kerja di syarikat kawalan keselamatan bersama suami wanita terbabit," katanya selepas menyertai operasi bersepadu 'Op Gelenyar' bersama lima agensi di kawasan etnik Rohingya di Semabok, di sini, semalam.

Operasi turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman, anggota Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Che Sukri berkata, pasangan warga tempatan itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman hingga mendatangkan syak.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: February 19, 2023 @ 2:46pm
d