mutakhir

Belanja RM2 juta demi Bulan Bintang Takes The Sky

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Pertama kali tengok pertunjukan fesyen jenama tempatan tapi bertaraf antarabangsa!" kata pengguna laman sosial di TikTok.

Ia selepas pertunjukan fesyen Bulan Bintang bertemakan 'Takes The Sky' yang diadakan di Menara Kuala Lumpur, di sini, semalam, tular di media sosial.

Pertunjukan itu menyaksikan persembahan dron terbanyak hingga berjaya tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengasasnya, Azzim Zahid Azmi berkata, dia membelanjakan RM2 juta untuk merealisasikan pertunjukan itu.

"Kami mahu melakukan kelainan yang tidak pernah dibuat dalam sebarang pertunjukan fesyen. Formasi dron ini dibawa khas dari United Kingdom.

"Saya mendapat inspirasi selepas melihat kehebatan formasi dron ini ketika bercuti ke luar negara. Apa yang dapat saya simpulkan, kos untuk formasi ini sendiri menelan belanja 80 peratus daripada kos keseluruhan. Kiranya untuk Bulan Bintang Takes The Sky ia menelan belanja RM2 juta," katanya.

Menurutnya, acara itu turut dimeriahkan dengan 'projection mapping' atau video mapping iaitu teknologi baru yang membawa penonton ke satu dimensi berbeza dan memberikan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Projection mapping di tiang Menara Kuala Lumpur itu memaparkan gimik dan juga nama-nama jenis koleksi yang dipertontonkan.

"Pertunjukan fesyen ini bersempena koleksi raya Ready To Wear (RTW) sedondon seisi keluarga yang terdiri daripada 68 rekaan dan 326 pilihan warna eksklusif. Kami menyasarkan jualan satu juta unit terjual sebelum sambutan Syawal ini," katanya.

Selain itu, pertunjukan itu menampilkan barisan duta dalam kalangan selebriti seperti Shukri Yahaya, Sharnaaz Ahmad, Nadhir Nasar, Beto Kusyairy, Hannah Delisha dan Daiyan Trisha.

End

Disiarkan pada: February 19, 2023 @ 7:04pm
d