mutakhir

Terpaksa bawa anak ketika jahit kasut di jalanan [METROTV]

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Saya tidak mengabaikan anak dan terpaksa membawa mereka ketika menjahit kasut kerana tiada pilihan," kata Mohammad Khairul Nizam Mohd Tamyis, 24.

Mohammad Khairul Nizam atau mesra dengan gelaran Mad berkata, dia tidak mempedulikan tanggapan buruk sesetengah individu berkaitan kerjayanya sebagai tukang kasut jalanan kerana ia adalah rezeki halal demi empat cahaya mata.

Menurutnya, dia juga sentiasa memastikan keselamatan anak atau keperluan mereka ketika bekerja di di hadapan sebuah bank di Taman Johor Jaya di sini.

"Saya berdepan cabaran menjaga anak-anak selepas berpisah dengan bekas isteri sejak setahun lalu.

"Kami tidak serasi dan mengambil keputusan untuk bercerai, buat masa ini saya menjaga dua anak iaitu berusia tiga dan enam tahun manakala bekas isteri menjaga anak sulung dan bongsu berusia lapan tahun serta bayi berusia setahun.

"Keluarga saya bukan orang senang, ibu saya menjual pisang goreng di Taman Puteri Wangsa manakala bapa masih menjadi tukang jahit kasut jalanan di hadapan sebuah pasar raya di Taman Johor Jaya," katanya yang tinggal bersama keluarga ibunya di Taman Puteri Wangsa di sini.

Mad berkata, sebelum ini, dia membawa keempat-empat anaknya ke tempatnya bekerja demi keselamatan, tetapi kini dua lagi di bawah jagaan isteri.

Menurutnya, cabaran utama menjaga anak ketika bekerja adalah ketika mereka mahu tidur dan mengadu panas.

Katanya, dengan pekerjaan itu dia mampu memberi nafkah RM50 setiap hari dan membelikan anak susu serta lampin pakai buang mengikut keperluan.

"Pendapatan saya kira-kira RM80 hingga RM100 sehari namun ia tidak tetap kerana sekiranya hari hujan, ia berkurangan," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia tidak sangka kerana ada pelanggannya yang prihatin dengan keadaannya dan menular kisahnya di laman Facebook (FB) dan TikTok tanpa pengetahuannya.

Malah, katanya, niat ikhlas mereka juga membuka pintu rezeki baginya apabila menerima lebih ramai pelanggan sejak beberapa bulan lalu.

"Saya memang ada impian untuk membuka kedai namun masih tiada modal, tambahan pula saya gemar beroperasi di jalanan kerana memudahkan pelanggan serta upah jahit juga tidak tinggi," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 12:14am
d