mutakhir

Terjebak skim kutu, empat rakan berputih mata

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Empat rakan mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang wanita yang juga 'ibu kutu' sehingga mereka mengalami kerugian lebih RM100,000.

Mereka yang juga rakan sekerja, terpedaya dengan penipuan skim kutu yang menjanjikan keuntungan 60 peratus daripada modal, selepas diajak dan tertarik dengan kehidupan mewah seorang rakan sepejabat.

Mangsa hanya ingin dikenali sebagai Nor, 33, mendakwa, ketika mula terjebak dengan skim kutu itu, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana yakin rakan sepejabatnya tidak akan menipu.

Dakwanya, kehidupan wanita itu mewah dan ia didakwa hasil daripada skim kutu.

"Selepas diajak, akhirnya saya terjebak dengan skim itu pada Februari tahun lalu dengan modal awal sebanyak RM1,500. Ia tidak terhenti di situ, apabila saya terus membuat pelaburan dengan keseluruhan 24 transaksi sehingga Disember tahun lalu dan kini menanggung kerugian mencecah ratusan ribu.

"Mujurlah saya tidak membuat sebarang pinjaman, namun begitu, kesemua wang itu adalah simpanan yang saya kumpul untuk mengubah suai rumah. Akhirnya keuntungan dijanjikan dalam tempoh tiga bulan lesap bersama modal, selain rumah tidak dapat diubah suai," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah, di sini, petang semalam.

Seorang lagi mangsa, May, 30-an berkata, dia berminat mengikuti skim kutu itu kerana ingin mendapatkan wang tambahan bagi membayar pinjaman perumahan, namun kini dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM20,000.

"Saya mula membuat transaksi pembayaran pada Jun dan kemudiannya pada Julai dengan setiap satu berjumlah RM5,000 dan kemudian diikuti beberapa lagi transaksi lain. Keuntungan dijanjikan 60 peratus dalam tempoh hanya tiga bulan.

"Namun pada bulan yang dijanjikan pelbagai alasan yang diberikan dan rakan sekerja kami yang sebelum ini 'mengheret' kami sertai skim kutu ini hanya berdiam diri. Kini, saya bingung untuk mencari duit bagi membayar pinjaman," dakwanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kepimpinan Melayu Malaysia, Md Firdaus Mashor berkata, seramai 10 individu dari Melaka, yang mendakwa menjadi mangsa 'ibu kutu' terbabit sudah tampil membuat laporan polis.

"Kesemua mereka ini kami minta untuk tampil membuat laporan polis supaya tindakan lanjut boleh dikenakan.

"Dimaklumkan juga, di Melaka dan Johor, terdapat kira-kira 40 mangsa dipercayai terpedaya dengan skim kutu ini dengan kerugian dianggarkan RM1.3 juta," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, mengesahkan menerima laporan dibuat oleh mangsa.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 8:49am
d