mutakhir

'Mana ada hakim tunggu tertuduh datang'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini, marah selepas pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali dan peguamnya, Mohammad Farhan Maaruf tidak berada di dalam mahkamah mengikut masa ditetapkan.

Hakim Izralizam Sanusi berkata, beliau sudah menetapkan prosiding kes bela diri pada hari ini bermula pada 9.30 pagi.

"Peguam bela di mana? Semalam saya sudah tetapkan jam 9.30 pagi, betul?

"Awak ingatkan sikit anak guam. Dia orang kena tuduh (OKT), mana ada hakim tunggu tertuduh datang," katanya.

Menjawab pertanyaan Izralizam, pembantu peguam bela, Siti Zulaikha Zulkifli berkata, anak guam mereka sudah tiba, namun keluar sebentar berkemungkinan ke tandas.

Izralizam: Semalam lambat, hari ini lambat. Hari ini alasan apa?

Siti Zulaikha: Dia (tertuduh) mungkin ke tandas. Dia sudah sampai, saya percaya dia sampai dengan kami.

Izralizam: Jadi dia tak boleh tunggu dulu sampai saya naik 9.30 pagi?

Siti Bainun kemudian dilihat memasuki mahkamah dan hakim segera memintanya berada di dalam kandang tertuduh.

Izralizam: OKT pergi mana tadi. Kenapa masuk lambat?

Siti Bainun: Saya tak dengar tadi, saya dekat luar ada call (panggilan).

Izralizam: Make sure (pastikan) 9.30 pagi kena ada dalam ini (mahkamah). Kalau TPR (timbalan pendakwa raya) boleh ada, kenapa awak tak ada. Selepas ini 9.30 pagi kena hadir, saya tak nak mengganggu perjalanan kes lagi.

Prosiding kes bela diri terpaksa ditangguhkan sebentar sementara menunggu kehadiran peguam.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 10:46am
d