mutakhir

Siapkan lima LCS, berita baik buat TLDM - Rafizi

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kemampuan kerajaan membina lima kapal tempur pesisir (LCS) berbanding enam aset berkenaan seperti yang sepatutnya, adalah berita baik kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata ia berikutan ia membabitkan kos yang sama tanpa kerajaan perlu menambah peruntukan untuk memperoleh aset berkenaan.

Katanya, beliau berpandangan kerajaan hanya mampu membina tiga atau empat LCS saja selepas pembinaan terpalit dengan kelewatan dalam projek pembinaan LCS bernilai RM9 bilion sejak 2017.

"Saya terkejut sebenarnya lima kapal kerana ingat kita tidak mampu pun siapkan lima dengan segala yang telah berlaku dengan LCS.

"Hakikat bahawa kita komited dan boleh menyiapkan lima kapal, itu saya ingat berita yang baik kepada TLDM kerana keperluan kapal itu adalah sangat mendesak.

"Sebelum ini saya bimbang kalau daripada enam kapal tu jadi tiga atau empat. Kalau lima kapal tu kalau dapat diusahakan ia sudah tentu adalah satu perkara yang baik kepada TLDM kerana kita tidak menambah peruntukan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, pagi ini.

Ditanya jika siasatan membabitkan LCS perlu diteruskan, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata sebagai anggota kerajaan beliau tidak mahu campur tangan dalam urusan pihak berkuasa berkenaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam siasatan membabitkan LCS mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat.

Justeru, beliau meminta orang awam dan pihak media faham bahawa seorang menteri tidak boleh campur tangan dalam soal berkenaan, selaras dengan pendirian ketika Pakatan Harapan' (PH) sebagai pembangkang yang mahukan siasatan sentiasa bebas daripada campur tangan.

"Jika tidak, apa beza kami dengan Kerajaan sebelum ini? Kalau ada sesuatu (perkara) kami tekan atau beri arahan kepada pihak berkuasa.

"Jadi saya mengambil pendekatan yang saya tidak campur tangan sepenuhnya.

"Biar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara, pendakwa raya dan hakim siasat dengan tangan yang bebas kerana tidak ada campur tangan," katanya.

Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika menjawab soalan tambahan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut), berkata sama ada Kementerian Pertahanan akan menurunkan harga siling perolehan LCS selepas memutuskan untuk mengurangkan jumlah perolehan LCS daripada enam kepada lima, berkata harga siling RM9 bilion yang ditetapkan sebelum ini masih kekal, kerana pengurangan jumlah perolehan LCS dibuat disebabkan faktor peningkatan harga barangan.

Beliau dilaporkan berkata, harga siling tetap sama berikutan banyak perubahan kerja (VO) dan disebabkan pertambahan kos akibat kenaikan harga barang.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 10:53am
d